Isnin, 4 Jun 2007

Teknik Efektif Mengurangkan Spam

Faktor kos dan halangan yang sangat rendah mungkin mendorong banyak pihak terlibat sebagai penghantar spam, hingga jumlahnya cukup tinggi dan sukar dikawal. Mangsanya pula boleh melibatkan pelbagai pihak - seperti orang ramai, perniagaan, organisasi dan penyedia khidmat internet (ISP). Sementara kesannya pula meliputi penurunan produktiviti kerja, jangkitan virus atau kecurian maklumat. Meskipun langkah-langkah untuk membendungnya terus diambil, namun aktiviti jenayah ini tidak menunjukkan petanda akan berakhir.

Mahu tidak mahu, anda juga terpaksa menggambil langkah perlu untuk menanganinya. Disebabkan kaedah menghantar spam semakin canggih, anda harus menanganinya dengan langkah yang efektif dan tidak lekas putus asa. Anda boleh mencuba beberapa cadangan yang disenaraikan di bawah ini. Antaranya memastikan alamat e-mel penting tidak didedahkan, hingga menjadi sasaran spam. Selain itu, anda boleh menggunakan aplikasi e-mel dan perisian anti-spam yang boleh mengesan, menapis, memadam dan mengurangkan spam.

Langkah Membendung Asakan Spam

Antara langkah-langkah yang boleh diambil untuk mengurang asakan e-mel sampah atau spam.

* Jangan mudah mendedahkan alamat e-mel dalam internet. Jika alamat tersebut perlu didedahkan, anda boleh menggunakan helah tertentu seperti “nama-at-hotmail-dot-com” agar ia sukar dikutip. Selain itu, anda boleh menukar bentuk alamat daripada teks kepada imej atau imej itu mengandungi alamat e-mel.

* Semak samada alamat e-mel anda sudah terdedah kepada penghantar spam dengan mencari alamat itu menerusi enjin carian seperti Google. Jika alamat e-mel itu diposkan ke mana-mana tapak web, blog atau kumpulan berita, sila keluarkan. Ini boleh membantu mengurangkan jumlah spam yang diterima.

* Sediakan dua (sekurang-kurangnya) alamat e-mel. Satu e-mel untuk kegunaan peribadi kepada teman dan rakan sekerja, dan satu lagi untuk melanggan surat berita atau mengepos kepada forum atau lokasi awam yang lain dalam internet. Gunakan khidmat e-mel percuma dan alamat e-mel yang sukar diteka.

Perisian Keselamatan dan Anti-Spam

Anda boleh menggunakan perisian atau sut keselamatan internet yang efektif, seperti BitDefender, McAfee, Norton, CA, F-Secure, PC-cillin, Panda Platinum, Norman, ZoneAlarm, atau Kaspersky - yang dilengkapi fungsi perlindungan spam. Perisian ini menggunakan kaedah tertentu untuk mengesan spam dengan efektif. Antaranya menyekat atau mengizinkan e-mel berdasarkan alamat IP (Internet Protocol), perkataan tertentu selain menggunakan teknologi pintar. Kebanyakan sut boleh mengimbas imej grafik untuk mengesan spam.


Petikan dari;
http://www.karangkraf.com.my/e-majalah/MajalahPC/


Tiada ulasan: