Jumaat, 8 Jun 2007

Cara Daftar Nama Domain

SOALAN:
Saya ingin bertanya mengenai pendaftaran nama domain. Adakah perlu kita mempunyai sebuah syarikat atau perniagaan yang sudah berdaftar jika hendak membeli satu nama domain .my, seperti www.hmetro.com.my?

Akram Mohamad,
akram98@pd.jaring.my

JAWAPAN:
JAWAPAN: Pendaftar domain untuk .my (mynic.net.my) menyatakan hanya syarikat yang berdaftar dengan Pendaftar Syarikat (ROC), Pendaftar Perniagaan (ROB) atau Pendaftar Persatuan (ROS) boleh mendaftar domain .com.my, .org.my dan .net.my

Setiap pendaftaran akan dikenakan yuran tahunan sebanyak RM100 bagi setiap domain itu.

Bagaimanapun, jika tidak mempunyai syarikat atau pertubuhan berdaftar, anda boleh mendaftar untuk domain .name.my. Domain .name.my ialah domain persendirian dan mynic akan mengenakan yuran sebanyak RM40 setahun.

Anda hanya perlu menyertakan salinan kad pengenalan untuk mendaftar domain .name.my. Contohnya, bakhtiarhamid.name.my.

Selain terus mendaftar kepada Mynic, anda juga boleh mendaftar domain .my menerusi wakil penjual Mynic.

Mungkin lebih mudah mendaftar menerusi wakil-wakil penjual itu kerana mereka mungkin akan menawarkan potongan harga untuk yuran tahunan.

Mereka juga menyediakan perkhidmatan tambah nilai atau perkhidmatan lain seperti penganjuran laman web dan sebagainya.

Dalam pada itu, anda boleh juga mendaftarkan domain .com, .net atau .org menerusi wakil penjual itu. Pendaftaran terbabit tidak memerlukan sijil syarikat atau organisasi.

Untuk maklumat lanjut, anda boleh melayari laman web Mynic di http://www.mynic.net.my.

Dipetik dari;
http://www.hmetro.com.my/

Tiada ulasan: