Khamis, 24 April 2008

Beza Hub, Switch dan Router

SOALAN:
Saya ada satu persoalan yang memeningkan kepala hingga sekarang iaitu mengenai perbezaan di antara hab, suis dan router.

Jika dilihat dengan mata kasar, ia kelihatan sama, tapi memiliki fungsi berbeza.

Saya berharap tuan dapat menghuraikan mengenai perbezaan, fungsi dan cara penggunaan ketiga-tiga alat utama untuk sistem rangkaian dan Internet itu.


Khairul Amiruddin
kouji_khai88@yahoo.com


JAWAPAN:
Ramai orang keliru dengan ketiga-tiga peralatan yang anda sebutkan itu kerana dari segi reka bentuk memang nampak sama, tapi hakikatnya ia memiliki nama dan fungsi berbeza.

Biasanya hab digunakan untuk menyambungkan 'segmen-segmen' di dalam sistem rangkaian. Ia memiliki banyak pelabuh dan isyarat akan disalurkan ke setiap pelabuh itu.

Lebar lajur akan dikongsi bersama di antara pelabuh-pelabuh itu dan ia beroperasi di lapisan pertama (Layer 1) atau lapisan fizikal di dalam model rujukan Antarapenyambungan Sistem Terbuka (OSI).

Suis pula digunakan untuk memperluaskan atau menyambungkan 'segmen' di dalam rangkaian.

Sebuah suis memiliki banyak pelabuh, tapi 'kerangka-kerangka' dipanjangkan ke pelabuh yang sudah ditentukan.

Setiap pelabuh mempunyai lebar lajur sendiri dan ia beroperasi di lapisan kedua (Layer 2) di dalam model rujukan OSI.

Sementara router pula digunakan untuk menghubungkan dua atau lebih rangkaian dan subrangkaian.

Sesebuah router mempunyai beberapa pelabuh dan paket akan disalurkan ke sistem rangkaian yang ditentukan. Router beroperasi di Lapisan ketiga (Layer 3) model rujukan OSI.

Untuk memudahkan pemahaman anda, lihat gambarajah contoh rangkaian ethernet di bawah:

Merujuk gambarajah itu, komputer yang disambungkan ke hab (H1 dan H2) akan mendapat isyarat secara terus ke komputer lain disebabkan penggunaan lebar lajur.

Komputer yang terhubung kepada suis hanya akan mendapat kerangka yang hanya dikhususkan untuknya.

Dalam pada itu, komputer yang terhubung kepada suis akan menghantar isyarat ke komputer terhubung ke hab yang membawa makna bahawa semua komputer yang terhubung ke hab yang sama akan mendapat isyarat itu juga.

Namun begitu, komputer yang terhubung ke hab menghantar kerangka ke komputer yang terhubung ke suis, hanya komputer yang ditentukan saja akan mendapat kerangka itu.

Router yang menghubungkan dua rangkaian akan menghalakan paket-paket di antara keduanya.

Bagaimanapun, sekarang sudah ada peranti yang memiliki fungsi bagi kedua-dua suis dan router hingga menyebabkan untuk membezakannya lebih sukar.

Misalnya, kebanyakan modem ADSL yang dilengkapi beberapa pelabuh adalah router dan suis atau hab.

Ia menjadi router disebabkan keupayaannya menghubungkan rangkaian anda dengan rangkaian penyedia perkhidmatan Internet (ISP) dan ia menjadi hab atau suia apabila memiliki beberapa pelabuh yang menghubungkannya ke segmen lain di dalam sistem rangkaian setempat (LAN) anda.


Dipetik dari:
http://www.hmetro.com.my/

1 ulasan:

CCNA Help berkata...

Networking Glossary with Self Explanatory Images
http://ccnahelpguide.blogspot.com/